Wednesday, February 16, 2011

Selamat Menyambut Chap Goh Mei :-)

Sementara teman-teman serumah bangun seawal 5.30 pagi untuk ke sekolah, penulis masih lagi tidur di katil. Seorang demi seorang teman serumah yang prihatin datang mengejutkan penulis kerana pada tanggapan mereka penulis pasti akan kesiangan nanti.

Sebenarnya penulis bercuti hari ini dek kerana sekola penulis mengambil cuti peristiwa demi menyambut Hari Chap Goh Mei. Mungkin ramai yang tidak tahun mengenai sambutan hari ini. Di sini penulis menerangkan serba sedikit mengenainya.

Lima belas hari selepas Tahun Baru Cina merupakan hari Chap Goh Mei disambut sebagai menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina. Pesta Chap Goh Mei disambut dengan mengadakan upacara sembahyang secara besar-besaran, di mana colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga. Bunga api dibakar dan tanglung dinyalakan bagi meraikan Chap Goh Mei.

Chap Goh Mei juga dianggap sebagai malam mencari pasangan di mana para gadis akan berpakaian serba indah dan mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang secocok. Terdapat juga amalan melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dengan doa untuk mendapat pasangan. Buah limau yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan yang sesuai.

Penulis sebelum ini fikir yang amalan ini asalnya dari tanah besar China, rupa-rupanya diasaskan sendiri daripada masyarakat negara kita. Ianya dimulakan lebih kurang pada penghujung abad ke-19. Hanya pada hari ini juga, gadis-gadis muda dibenarkan berjalan-jalan di luar namun mesti ditemani oleh seorang pengiring. Teruna-teruna akan mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan pilihan hati mereka dan memilih gadis yang berkenan di hait untuk dikahwini. Jelas yang amalan bersiar-siar ini tidak lagi wujud. Walaupun begitu, tradisi mencari jodoh masih lagi dilakukan

Persembahan kebudayaan Cina juga akan diadakan pada waktu malam ini bagi menandakan perayaan Chap Goh Mei seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, opera Cina, dan mengimbang bendera besar "Chingay".


*sumber dari Wikipedia dan 1Malaysia travel blog 
*gambar:aizuddinsaad.wordpress

p/s: sape nak teman penulis lempar limau di Sungai Baram?

No comments:

Post a Comment